Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 20 JULAI 2026 : Negeri Pahang terus kekal berada pada landasan kewangan yang kukuh hasil amalan tadbir urus berhemah serta disiplin fiskal yang konsisten, sekali gus membolehkan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan secara berterusan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, penganjuran Mesyuarat-Mesyuarat Utama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bersama Kerajaan Negeri mencerminkan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sistem pengurusan kewangan awam demi kepentingan negara dan rakyat.
“Prestasi kewangan negeri yang stabil memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk meneruskan agenda pembangunan, memperluaskan jaringan keselamatan sosial serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat-Mesyuarat Utama Kementerian Kewangan Malaysia bersama Kerajaan Negeri, mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di sini malam tadi.
Sementara itu, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh berkata, penganjuran mesyuarat berkenaan bukan sahaja mengukuhkan kerjasama antara pegawai kewangan di seluruh negara, malah menjadi platform penting untuk bertukar pandangan mengenai pendekatan terbaik dalam pengurusan kewangan sektor awam.
“Hubungan erat yang terjalin menerusi mesyuarat seperti ini akan terus memperkukuhkan usaha bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memantapkan tadbir urus kewangan negara,” katanya.
Mesyuarat yang menghimpunkan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Pegawai Kewangan negeri seluruh Malaysia serta wakil pelbagai agensi itu turut menjadi medan perkongsian idea, pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkasakan tadbir urus kewangan yang lebih cekap, telus dan berintegriti. -PAHANGMEDIA

