Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Shahrizar Azdhar
BENTONG, 14 JULAI 2026 : Isu bekalan air, pemilikan tanah dan kemudahan jalan menjadi antara perkara utama diberi perhatian dalam lawatan kerja ke Kampung Sungai Dua Olak dan Kampung Sungai Dua Hulu, di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perkara tersebut dikenal pasti hasil lawatan kerja beliau bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Orang Asli Corporation Sdn. Bhd. (ORACO) serta agensi berkaitan.
Menurut beliau, antara isu utama yang dibangkitkan penduduk ialah masalah bekalan air yang dihadapi masyarakat setempat, khususnya di Kampung Sungai Dua Olak yang dihuni kira-kira 100 keluarga.

Beliau berkata, sebelum ini penduduk bergantung kepada sistem bekalan air bukit yang kini tidak lagi berfungsi dengan baik akibat kekurangan penyelenggaraan, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air berlaku.
“Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada JAKOA Pusat kerana telah bersetuju dengan peruntukan yang disarankan oleh pihak PAIP, dengan anggaran sekitar RM1 juta bagi membantu pembinaan sistem bekalan air di kawasan ini,” katanya.
Mengulas isu pemilikan tanah, beliau berkata Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, terus komited menyelesaikan permohonan tanah menerusi pelaksanaan Skim Tanah Rakyat (STR) yang merangkumi Skim Tanah Rakyat Orang Kampung, Skim Tanah Rakyat FELDA dan Skim Tanah Rakyat Orang Asli.
Menurutnya, penubuhan Pasukan Petugas Khas (Task Force) melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hasil saranan Menteri Besar Pahang telah berjaya mempercepatkan penelitian permohonan tanah masyarakat Orang Asli.
Katanya, permohonan tanah bagi Kampung Sungai Dua telah berjaya diangkat ke peringkat Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta MMK selepas melalui penelitian bersama PTG, JAKOA dan Pentadbir Tanah Daerah.
“Insya-Allah saya akan mendapatkan laporan terperinci daripada pihak PTG dan JAKOA esok (Khamis) untuk kita melihat bukan sahaja di Sungai Dua, tetapi juga kawasan lain seperti Rompin, Muadzam Shah, Cameron Highlands, Lipis dan Jerantut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap keperluan menaik taraf jalan di kampung Orang Asli, namun pelaksanaannya perlu dirancang secara teliti bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan keindahan alam sekitar.
Menurut beliau, kawasan berkenaan masih mengekalkan keaslian alam semula jadi serta mempunyai potensi untuk menarik kehadiran pelancong, justeru pembangunan perlu diseimbangkan dengan aspek pemeliharaan alam sekitar.
“Untuk mendapatkan penelitian dan syor yang rapi, kita memerlukan kerjasama pelbagai rakan strategik. Antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tourism Pahang, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan.
“Supaya satu cadangan yang terbaik dapat dihasilkan, penduduk kampung dapat menikmati keselesaan manakala kelestarian persekitaran terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan secara menyeluruh melibatkan pelbagai agensi amat penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang memberi manfaat kepada penduduk tanpa menjejaskan kelestarian kawasan berkenaan.
Katanya, usaha menyelesaikan isu berkaitan masyarakat Orang Asli akan terus diberi perhatian menerusi kerjasama strategik semua pihak bagi memastikan keperluan asas dan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara berperingkat.-PAHANGMEDIA

