Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
BENTONG, 14 JULAI 2026 : Seramai 26,000 keluarga Orang Asli di seluruh negeri Pahang menerima bantuan bakul makanan menerusi peruntukan berjumlah RM2.6 juta sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban kehidupan masyarakat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan berkenaan disalurkan sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian.
Menurut beliau, pengagihan bakul makanan turut dilaksanakan sempena lawatan kerja ke Kampung Sungai Dua Olak dan Kampung Sungai Dua Hulu apabila bantuan berkenaan disampaikan kepada penduduk di kedua-dua kampung terbabit.

“Termasuklah hari ini bila kita sampai ke sini, kita bawa sekali bakul makanan untuk semua penduduk di Sungai Dua Olak dan Sungai Dua Hulu. Semua tadi kita sudah agihkan.
“Bukan bermakna mereka tiada (keperluan), tetapi bantuan ini dapat meringankan beban yang ada pada mereka,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada program Bakti Negeri (BN) yang diperkenalkan oleh YAB Menteri Besar Pahang sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang memerlukan di seluruh Pahang.
Sementara itu, beliau turut menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli menerusi pelbagai pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan komuniti berkenaan.
-PAHANGMEDIA

