Oleh : Nur Saadah Artika
BENTONG, 14 JULAI 2026 : Komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa kebajikan saudara baharu terus diperkukuh menerusi Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Mualaf, yang memberi sinar harapan kepada golongan mualaf termasuk masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Nur Sahanani Salin, 26, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan menyalurkan bantuan kepada golongan mualaf.

“Terima kasih Tok Wan kerana memberi kami bantuan sebanyak RM200. Saya rasa sangat gembira apabila menerima bantuan ini. Kalau boleh lepas ini bantuan ini dapat diteruskan lagi,” katanya ketika ditemui pada Program Santuni Saudaraku sempena Sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran serta Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 1448H/2026M di Padang Orang Ramai Kampung Orang Asli Ulu Pareh, Bentong, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 300 mualaf menerima sumbangan RM200 setiap seorang, selain bantuan turut disampaikan kepada 60 Penggerak Masyarakat Orang Asli Negeri Pahang.
Beliau yang masih menetap bersama ibu bapanya yang belum memeluk Islam turut berharap Kerajaan Negeri Pahang dapat menyediakan penempatan atau rumah khas untuk golongan mualaf pada masa akan datang.

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Nur Haleeda Hasroy, 24, yang memeluk Islam pada 2020, berkata beliau berbangga dengan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam menjaga kebajikan golongan mualaf.
“Saya rasa sangat bagus dan bangga kerana kerajaan negeri prihatin terhadap mereka yang sudah memeluk Islam. Saya juga boleh menggunakan bantuan ini untuk keperluan harian nanti,” katanya.
Dalam pada itu, program berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di daerah Bentong.

Batin Kampung Lebak, Bentong, Yusof Sidai, turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri atas sumbangan yang diberikan.
“Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada MB kerana sudi menyumbangkan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di daerah Bentong. Semoga pada masa akan datang, MB terus memberikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya. – PAHANGMEDIA

