Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 14 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh agenda kebajikan apabila melancarkan Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Mualaf, sekali gus memperkasa pembangunan dan kesejahteraan golongan saudara baharu di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh syiar Islam di negeri ini, di samping memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Pada masa yang sama, menerusi Inisiatif Makmur Pahang, pelbagai bantuan terus disalurkan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Santuni Saudaraku sempena Sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran serta Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 1448H/2026M di Perkampungan Orang Asli Hulu Pareh, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 300 mualaf menerima sumbangan RM200 setiap seorang, selain bantuan turut disampaikan kepada 60 Penggerak Masyarakat Orang Asli Negeri Pahang.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, menerusi Inisiatif Makmur Pahang Kluster Agama, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bantuan untuk rakyat di negeri ini meliputi pelbagai aspek.
“Menerusi Inisiatif Makmur Pahang Kluster Agama, sebanyak RM10,000 disalurkan kepada setiap masjid, RM4,000 kepada Surau Kebenaran Jumaat, RM750 kepada setiap jemaah haji, RM2,000 kepada maahad tahfiz berdaftar, RM300 kepada pasangan pengantin baharu serta RM200 kepada setiap mualaf atau saudara baharu,” katanya.

Pada majlis sama, YAB Menteri Besar turut menyampaikan cek cura Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Mualaf berjumlah RM713,800 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Bahagian Dakwah bagi pelaksanaan program pembangunan dan kebajikan komuniti mualaf di negeri ini.
Beliau turut menyampaikan cek cura Bantuan Khas Kerajaan (BKK) kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) berjumlah RM12,200 kepada Pengarah JAIP Bahagian Dakwah, selain menyampaikan cek cura Bakul Makanan bernilai RM2.63 juta kepada Pengerusi Batin Negeri Pahang.
Turut hadir ialah YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam serta barisan ketua ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

