Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 10 JULAI 2026 : Barisan Nasional (BN) berada di landasan kukuh untuk membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar melepasi majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.
Dapatan berkenaan adalah berdasarkan kajian lapangan terbaharu ILHAM Centre, sebuah penyelidikan yang menjalankan kajian pendapat awam negara sejak 2006.
Kajian itu mendapati faktor paling dominan yang memihak kepada BN ialah ‘setting’ pilihan raya negeri yang berlangsung secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU), sekali gus menyebabkan pertimbangan pengundi lebih tertumpu kepada prestasi kerajaan negeri, keberkesanan pentadbiran Menteri Besar serta pembangunan yang dirasai secara langsung oleh rakyat.
ILHAM Centre dalam satu kenyataan yang dikeluarkan memberitahu, berbeza dengan PRU yang lazimnya dipengaruhi sentimen nasional, PRN memberi kelebihan kepada BN sebagai penyandang kerajaan negeri untuk menonjolkan rekod pentadbiran, kestabilan politik dan kesinambungan agenda pembangunan tanpa terlalu dibebani persepsi terhadap kerajaan Persekutuan.
Kajian itu turut mendapati kedudukan BN semakin kukuh apabila Perikatan Nasional (PN) tidak lagi dilihat sebagai pencabar utama sebagaimana pada PRU-15 susulan kekeliruan mengenai hala tuju gabungan berkenaan serta kegagalan menampilkan naratif kempen yang jelas sehingga menjejaskan keyakinan penyokong mereka sendiri.
Dalam masa sama, sebahagian penyokong PAS di kawasan majoriti Melayu dilihat lebih cenderung memberikan sokongan taktikal kepada BN berbanding mempertahankan kekuatan PN, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan gabungan itu di banyak kerusi.
ILHAM Centre berkata, kejayaan BN turut disokong gabungan beberapa faktor termasuk calon yang lebih dikenali dan mempunyai rekod perkhidmatan, isu kempen yang dekat dengan kehidupan rakyat serta kekuatan jentera yang tersusun sehingga ke peringkat lokaliti.
Kajian berkenaan juga menunjukkan pengundi Johor lebih cenderung membuat penilaian secara pragmatik berbanding emosional dengan mengutamakan kestabilan pentadbiran, peluang pembangunan dan penyelesaian isu kos sara hidup berbanding retorik politik atau isu nasional.
Sementara itu, YAB. Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi muncul sebagai aset politik terbesar BN apabila kajian merekodkan tahap populariti beliau mencecah 79 peratus berbanding YAB. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperoleh kadar populariti 40 peratus dalam kalangan responden.
Menurut ILHAM Centre, naratif kempen BN yang memfokuskan kepada rekod pentadbiran YAB. Onn Hafiz, kestabilan politik serta pelaksanaan projek pembangunan berskala besar seperti Sistem Transit Rapid (RTS), Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) dan pembangunan pusat data berjaya menarik perhatian pengundi.
Bagi Pakatan Harapan (PH) pula, cabaran utama ialah memastikan kadar keluar mengundi pengundi Cina kekal tinggi kerana kajian mendapati kumpulan itu masih cenderung menyokong PH, namun tahap keterujaan untuk keluar mengundi jauh lebih rendah berbanding semasa PRU-15.
Dalam kalangan pengundi muda yang membentuk hampir 48 peratus daripada keseluruhan pengundi, kajian mendapati mereka lebih bersifat ‘candidate centric’ dan ‘late decider’, iaitu membuat keputusan pada saat akhir berdasarkan personaliti, rekod prestasi serta keupayaan calon menyelesaikan isu setempat berbanding jenama parti.
Berdasarkan keseluruhan dapatan, ILHAM Centre mengunjurkan BN mendahului di 39 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PH di sembilan kerusi manakala lapan lagi masih berada dalam kategori sengit, sekali gus meletakkan BN pada landasan kukuh untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga sekiranya momentum sokongan semasa dapat dikekalkan. -PAHANGMEDIA

