Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 JULAI 2026 : Operasi Hospital Rompin berjalan seperti biasa dan perkhidmatan yang ditawarkan juga tidak menghadapi sebarang gangguan.
Menurut satu kenyataan media oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengambil maklum berhubung rakaman yang tular di media sosial memaparkan perhimpunan melibatkan kakitangan syarikat bukan konsesi Total IFM di Hospital Rompin.
“JKNP ingin memaklumkan bahawa operasi Hospital Rompin dan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada pesakit berjalan seperti biasa.
“Pihak JKNP telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas,” ujar kenyataan media yang dikeluarkan tersebut.
Pihak JKNP juga turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Sebarang perkembangan berkaitan perkara ini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebelum itu tular di media sosial video memaparkan perhimpunan 24 pekerja pembersihan dan penyelenggaraan yang menuntut pembayaran gaji serta caruman PERKESO daripada majikan.
Menurut pihak JKNP, isu tersebut telah pun diselesaikan selepas pihak syarikat membuat pembayaran gaji sekitar jam 12.00 tengah hari semalam. -PAHANGMEDIA

