Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 2 JULAI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan supaya sungai yang berada berdekatan kawasan penempatan didalamkan sebagai langkah mengelakkan kejadian banjir.
Paduka Baginda bertitah, keadaan sungai yang semakin cetek berisiko menyebabkan limpahan air berlaku ketika hujan lebat, sekali gus mengakibatkan banjir di kawasan sekitar.
“Walau bagaimanapun, saya sentiasa mengingatkan mana-mana kampung ataupun bandar yang terletak di tepi sungai ini perlu didalamkan.

“Perlu didalamkan kerana tidak ada gunanya benteng setinggi mana sekalipun jika sungai semakin cetek, semakin hari semakin cetek. Air akan melimpah ke kawasan-kawasan sekitarnya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Lembing di sini hari ini.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu dan Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang, Dato’ Mohd Razam Taja Rahim; serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Sultan Pahang turut menzahirkan penghargaan terhadap pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur termasuk tebatan banjir yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan dana bagi projek-projek infrastruktur seperti tebatan banjir yang menelan belanja besar.
“Ini perlu kita laksanakan kerana setiap tahun Sungai Lembing antara kawasan yang sering dilanda banjir. Jika Sungai Lembing banjir, Kuantan juga berisiko banjir. Itu antara tanda aras kita di Pahang,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

