KUANTAN, 02 JULAI 2026 : Bilik Pristine Pahang mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul tiga anugerah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bulan lalu.
Pencapaian tersebut menyaksikan Bilik Pristine Pahang muncul juara bagi kategori Reruai Agensi Kerajaan dan Reruai Paling Mesra Pengunjung, selain meraih tempat kedua bagi kategori Reruai Paling Inovatif.
Penyerahan replika cek kemenangan telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dato’ Zainuddin Jamaluddin kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebagai simbol kejayaan tersebut.
Majlis berkenaan berlangsung sempena Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-23/2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Sultan Ahmad Shah, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muadzam Shah, semalam.
Penyertaan Pahang dalam PBAKL selama dua minggu itu merupakan kali kedua dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang yang turut melancarkan tujuh judul buku, antaranya Sketch Pahang: Pahang First Edisi Istimewa, Best Places in Tengku Hassanal Wildlife Reserve, Pahang: Passage Through Sight and Soul, Dasar Biodiversiti Negeri Pahang dan Pasport Pahang.
Bilik Pristine Pahang turut menampilkan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK), Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Tourism Pahang serta Majlis Biodiversiti Pahang.
Turut serta ialah Persatuan Pemandu Pelancong Mukim Ulu Cheka, Jerantut dan Komuniti Orang Asli Terbol yang mengetengahkan keunikan biodiversiti, warisan, pelancongan dan ilmu Negeri Pahang.
Aspirasi Pahang 1st menjadi tunjang utama kejayaan yang memperkukuhkan kedudukan dan mengangkat kekuatan Negeri Pahang di persada antarabangsa. Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat dan komitmen tinggi Medal Lions Creative sebagai penganjur.- PAHANGMEDIA

