Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 JUN 2026 : Kutipan hasil Kerajaan Negeri Pahang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding tahun lepas apabila berjaya mencatat kira-kira RM740 juta setakat ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian ini membuktikan Kerajaan Negeri berjaya meminimumkan ketirisan serta kebocoran hasil.
“Prestasi kutipan hasil Kerajaan Negeri ketika ini berada pada tahap yang baik, malah lebih baik daripada sebelumnya. Ini kerana dalam sejarah, belum pernah sebelum akhir Jun kita berjaya memperoleh lebih RM700 juta.
“Lazimnya, kutipan sekitar RM600 juta, namun kali ini melebihi RM700 juta. Ini menunjukkan prestasi kewangan berada pada tahap yang kukuh.
“Pencapaian ini hasil kecekapan pihak-pihak berkaitan dalam memastikan peningkatan hasil, di samping kejayaan meminimumkan ketirisan dan kebocoran yang turut menyumbang kepada pendapatan negeri,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Negeri Pahang mampu mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM1.279 bilion bagi tahun ini.
“Insya-Allah, saya amat optimis dan yakin sasaran kutipan hasil melebihi RM1 bilion akan dapat dicapai pada tahun ini berdasarkan prestasi semasa.
“Sehingga sebelum berakhirnya Jun, kita telah mencatat lebih RM740 juta,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st 2026 dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan SPM 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Turut hadir, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.- PAHANGMEDIA

