Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 JUN 2026 : Kejayaan pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini hasil usaha bersama di antara Kerajaan Negeri Pahang dan tenaga pengajar di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk meneruskan Majlis Aspirasi Guru Pahang 1st sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pendidik.

“Ini adalah satu majlis yang saya rasa Kejayaan Negeri merasakan kita seharusnya mengucapkan terima kasih kepada cikgu sebab kejayaan ini bukan datang secara kebetulan. Mesti ada usaha pelbagai pihak.
“Selain daripada murid itu sendiri, selain daripada cikgu, selain daripada ibu bapa, sokongan sekolah dia salah satunya cikgulah yang memainkan peranan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang turut memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta bagi meraikan para guru sempena penganjuran majlis apresiasi ini.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga akan terus memainkan peranan dalam membantu pelajar melalui pelbagai inisiatif pendidikan yang disalurkan secara percuma dan menyeluruh kepada pelajar di Pahang.
“Sebab kita bagi buku rujukan SPM ini kepada semua merantasi kaum, merantasi bandar, luar bandar. Sesiapa sahaja yang menduduki SPM, pelajar-pelajar, semua kita bagi buku rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st 2026 dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan SPM 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Seramai 49 penerima anugerah terdiri daripada guru cemerlang dan institusi pendidikan diraikan pada majlis hari ini. -PAHANGMEDIA

