Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 30 JUN 2026 : Kehilangan kaki kanan akibat kemalangan ngeri yang berlaku dua tahun lalu bukan titik noktah buat dua beradik, Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, dan adiknya, Nik Haziera Saffiya, 18, untuk meneruskan kehidupan.
Sebaliknya, mereka memilih untuk bangkit dengan mengusahakan perniagaan Cendol Meleleh di tepi jalan Kampung Lebak, di sini, sekali gus membantu meringankan beban keluarga.
Menurut Nik Haziera, bapanya, Nik Husmadi Ismail, 46, yang merupakan seorang pesara tentera sebelum ini hanya bergantung kepada hasil memancing dan menjual udang untuk menyara keluarga.
“Masa itu keadaan ekonomi keluarga tengah susah. Memang nak makan itu susahlah hari-hari. Abah sampai kena pergi mancing, jual udang, memang mengharapkan hasil abah jual udang masa itu.

“Dalam bulan empat, bulan lima macam itu, saya fikir dengan kakak, saya bincang dengan dia, kita sekarang dah sihat, ‘so’ adik rasa kita boleh meniaga. Jom kita pergi cari barang, kita buka (kedai cendol),” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini hari ini.
Mengimbau kejadian yang mengubah seluruh kehidupan dua beradik itu, Nik Haziera memaklumkan kejadian berlaku pada 7 Februari 2024 di mana ketika itu dia sedang membonceng motosikal bersama kakaknya selepas membeli kek tapak kuda.
Ujarnya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, sebuah kereta yang cuba memotong kenderaan di hadapannya secara tiba-tiba melanggar motosikal mereka sebelum kedua-duanya tercampak ke laluan bertentangan.
“Masa itu saya bawa motor. Kami berdua daripada Bera, kita orang pergi beli kek tapak kuda. Masa itu ‘on the way’ nak balik rumah, saya nampak ada dua kereta dekat depan saya. Yang depan ini, dia masuk simpang. Yang belakang ini, dia berhenti.

“Jadi, bila saya nak potong itu, kereta yang belakang ini, dia nak potong kereta depan dia, terlanggar saya. Langgar saya, jatuh, arah bertentangan ada lori datang. Lori tak sempat elak,” katanya.
Nik Haziera turut memaklumkan Nik Haznita kehilangan kaki sejurus selepas kemalangan berkenaan manakala kaki kanan Nik Haziera di potong setahun kemudian akibat masalah saraf kaki yang semakin rosak selepas besi dibuka.
“Kami berdua sebenarnya, tak pernah rasa ‘down’ yang macam mana kalau tak ada kaki macam itu, macam meroyan ke macam menangis yang macam itu, tak pernah lagi rasa, sebab kami rasa biasa sahaja. Walaupun kaki tak ada, kami rasa macam kami yang dulu. Cumanya jalan pakai tongkat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Cik Nik Haziera yang juga atlet pelapis lawan pedang kerusi roda negara berkata, mereka bersyukur menerima pelbagai bantuan selepas kemalangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Petronas serta Kerajaan Negeri Pahang.

“Terima kasih kepada pihak JKM. Pihak YB (Yang Berhormat). Terima kasih sebab bantu kami dulu. Sebabkan jasa anda semua, kami sekarang dah boleh buka kedai cendol. Kami sihat.
“Harapan kami, azam kami nak buka kedai cendol. Kami nak naik kedai dekat sini. InsyaAllah nak buka meja. Itulah harapan kami suatu hari nanti. Nak kembangkan lagi. Sekarang dalam proses untuk kita naikkan kedai. InsyaAllah,” katanya turut memberitahu ada membuat siaran langsung melalui aplikasi TikTok Cendol Meleleh bagi memaklumkan orang ramai tentang perkembangan perniagaan mereka.
Sementara itu, Nik Haziera memberitahu, nama Cendol Meleleh tercetus daripada cara penyediaannya yang berbeza daripada kebiasaan selain keistimewaan cendol mereka terletak pada penggunaan cendol buatan sendiri, santan sawit serta gabungan tiga jenis gula iaitu gula kabung, gula merah dan gula pasir.
Mereka menawarkan cendol dalam dua saiz iaitu cawan sederhana pada harga RM5 dan cawan besar RM7, selain turut menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, akikah serta pelbagai acara. -PAHANGMEDIA

