Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan yang memberi manfaat kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, program keusahawanan ini juga dapat memacu pembangunan komuniti setempat.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan melalui pelbagai dasar, inisiatif dan program pembangunan yang memberi manfaat kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana.
“Pembangunan usahawan merupakan antara pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri kerana usahawan bukan sahaja berperanan sebagai pencipta peluang pekerjaan, malah menjadi penggerak kepada inovasi, pelaburan dan pembangunan komuniti setempat.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa bersedia memberikan sokongan terhadap inisiatif-inisiatif yang dibawa oleh DPMM selagi ia memberi nilai tambah kepada pembangunan usahawan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak yang berkongsi aspirasi untuk memperkasa agenda keusahawanan, termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
“Sebagai sebuah organisasi yang mempunyai sejarah panjang dalam memperjuangkan kepentingan usahawan Melayu, DPMM memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti perniagaan dengan kerajaan, agensi-agensi berkaitan serta pemain industri.
“Saya percaya, kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Negeri Pahang dan organisasi seperti DPMM mampu membuka lebih banyak ruang kepada pelaksanaan program-program berimpak tinggi yang memberi manfaat secara langsung kepada usahawan.
“Ini termasuklah penganjuran program pembangunan kapasiti, latihan dan peningkatan kemahiran, pemerkasaan pendigitalan perusahaan, pemadanan perniagaan, penerokaan pasaran baharu, akses kepada pembiayaan, serta penglibatan usahawan dalam rantaian bekalan industri dan projek-projek strategik,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan berdasarkan kerjasama diantara kerajaan dan organisasi mampu mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kukuh di negeri ini.
“Saya yakin, apabila kerajaan dan organisasi seperti DPMM bergerak seiring sebagai rakan strategik, kita bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berinovasi, malah mampu mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kukuh, inklusif dan mampan demi kemakmuran Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Ke-57 di Hotel Grand Darul Makmur yang turut dihadiri Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), YBrs. Encik Norsyahrin Hamidon. -PAHANGMEDIA

