Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 10 JUN 2026 : Peneroka FELDA Rentam di sini menyifatkan penerimaan suratan hak milik tanah sebagai detik paling bermakna dalam kehidupan mereka selepas menunggu lebih empat dekad sejak dilantik sebagai peneroka tetap pada tahun 1985.
Bagi Encik Mat Yusof Mohamad, 70, suratan hak milik yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah lama dinantikan oleh peneroka FELDA berkenaan.

Menurutnya, dia bersama peneroka lain ditempatkan di kawasan itu sebagai Bakal Calon Peneroka (BCP) sekitar tahun 1980 sebelum ditawarkan sebagai peneroka tetap lima tahun kemudian.
“(Tunggu) dari tahun 1985 sampailah sekaranglah baru dapat hak milik. Kami di sini berasa banggalah, jadi Alhamdulillah lah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Peneroka FELDA Rentam yang berlangsung di Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.
Menurut anak kelahiran Perak itu, pemilikan suratan hak milik tersebut memberi ketenangan kerana tanah berkenaan kini boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.

Seorang lagi peneroka FELDA Rentam, Puan Norizam Maarof, 68, turut meluahkan rasa syukur apabila penantian lebih 30 tahun akhirnya berakhir.
Katanya, sebagai Ketua Blok, beliau sering membangkitkan isu berkenaan dalam setiap mesyuarat yang dihadirinya kerana memahami harapan peneroka untuk memiliki geran tanah masing-masing.
“Alhamdulillah bersyukur sangat, dah alam dah menunggu. Makcik sebagai Ketua Blok, jadi akan sentiasa pergi mesyuarat bertanyakan tentang masalah geran inilah.
“Makcik bersyukur dan berterima kasih kepada pihak FELDA dan terima kasih juga kepada YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy,” katanya.
Terdahulu, seramai 62 peneroka FELDA Rentam menerima suratan hak milik masing-masing hari ini sekali gus menjadikan 95 peratus peneroka di negeri ini menerima suratan hak milik masing-masing. -PAHANGMEDIA

