Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
ROMPIN, 06 JUN 2026 : Kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi projek menaik taraf platform terapung di Kampung Tekek, Pulau Tioman.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, projek berkenaan akan meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna serta pelancong yang berkunjung ke pulau peranginan terkenal itu.
Menurut beliau, penambahbaikan infrastruktur tersebut selari dengan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan pelancongan dan mempertingkat pengalaman pengunjung ke Pulau Tioman.

“Dengan adanya projek ini, kita berharap dapat meningkatkan keselesaan pengguna dan pelancong di Pulau Tioman, sekali gus menyokong perkembangan industri pelancongan serta ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan kapal persiaran Star Voyager yang berlabuh di Pulau Tioman selepas memulakan pelayaran dari Singapura pada 5 Jun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata ketibaan kapal persiaran tersebut membuka peluang lebih luas untuk mempromosikan Pulau Tioman sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, khususnya bagi aktiviti berasaskan laut seperti snorkeling dan selam skuba.
Menurutnya, daripada kira-kira 1,900 penumpang yang dibawa kapal berkenaan, lebih 900 orang turun ke pulau itu untuk meneroka pelbagai tarikan dan menyertai aktiviti pelancongan yang ditawarkan oleh pengusaha tempatan.
Beliau berkata, kerajaan negeri berharap kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti tempatan dapat diteruskan bagi memastikan Pulau Tioman kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama negara serta memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat. -PAHANGMEDIA

