Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 21 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1.325 juta bagi pelaksanaan Program Jualan Makmur sempena Hari Raya Aidiladha 2026 melalui potongan harga sehingga 30 peratus.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang, tawaran yang bermula selama sepuluh hari sehingga 25 Mei ini melibatkan 45 barangan keperluan asas.

“Dalam suasana ekonomi global yang semakin mencabar serta peningkatan kos sara hidup yang dirasai oleh rakyat, Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan keprihatinan dengan melaksanakan Program Jualan Makmur sempena Hari Raya Aidiladha 2026.
“Program ini menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran bagi pelbagai barangan keperluan asas, sekali gus membantu rakyat membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha dengan lebih tenang dan berjimat.

“Program ini telah bermula pada 16 Mei 2026 dan akan berlangsung sehingga 25 Mei 2026, melibatkan 30 lokasi terpilih di seluruh negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pemantauan Program Jualan Makmur Hari Raya Aidiladha Tahun 2026 di Pasaraya KY Maju Mart, Jalan Darat Makbar, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau berkata inisitif ini juga membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat serta membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, serta seluruh kepimpinan dan Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.
“Semoga usaha murni ini terus memberi manfaat kepada seluruh rakyat Pahang dan menjadi bukti bahawa kerajaan sentiasa bersama rakyat dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.
Tambahnya lagi, maklumat lanjut berkenaan jadual dan lokasi Program Jualan Makmur di semua daerah boleh didapati melalui hebahan rasmi di laman sosial Pahang Media. -PAHANGMEDIA

