Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 MEI 2026 : Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st bagi merebut Piala Al-Sultan Abdullah merupakan satu platform penting dalam memperkasa pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pelancaran liga ini juga dapat menjadi medium memperkukuhkan semangat kesukanan serta menyatukan masyarakat.
“Ini kita tahu bahawa rakyat Pahang sangat berminat dengan bola sepak sebab itu kita terpanggil untuk mengadakan kejohanan ini. Dalam masa yang sama, kita juga ingin mencungkil bakat anak-anak muda dalam arena bola sepak.
“Saya sangat yakin bahawa program sebegini mendatangkan minat kepada anak-anak muda kita. Kita nak anak muda kita memenuhi aktiviti-aktiviti seperti ini yang memberi faedah dan manfaat bukan sahaja kepada Negeri Pahang tetapi kepada diri mereka sendiri.

“Dan ini salah satu platform untuk kita mengekalkan atau meningkatkan lagi perpaduan sesama kita rakyat Pahang. Kita harus terima hakikat negara kita, negeri kita pelbagai kaum dan sukan boleh meningkatkan perpaduan kaum, salah satu dengan acara bola sepak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pelancaran Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah di Stadium Darul Makmur malam tadi.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.
Dalam masa yang sama beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memperluaskan kejohanan ini kepada sukan lain seperti pickelball namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.

Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st akan dijalankan secara berperingkat melibatkan 112 pasukan dari seluruh Negeri Pahang sekali gus menjadikan kejohanan ini antara kejohanan bola sepak rakyat terbesar di negeri ini.
Saingan peringkat pertama dijadualkan berlangsung pada 20 Jun hingga 26 Julai 2026 menggunakan format kumpulan sebelum diteruskan ke Pusingan 16 Terbaik pada awal Ogos ini.
Kemuncak kejohanan akan berlangsung di Stadium Darul Makmur menerusi aksi suku akhir pada 15 Ogos 2026, separuh akhir pada 22 Ogos, serta perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga dan keempat pada 29 Ogos 2026.
Satu perlawanan persahabatan melibatkan Pilihan Pahang menentang Pilihan Selangor akan berlangsung di Stadium Darul Makmur sebagai pembuka tirai rasmi Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st pada 6 Jun ini. -PAHANGMEDIA

