Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 MEI 2026 : Seramai 37 penerima menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM344,380.30 dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan bantuan kebajikan oleh kerajaan negeri telah dimulakan sejak tahun 2018 hasil kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan stabil.
Katanya, kestabilan politik serta peningkatan hasil negeri membolehkan pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat yang memerlukan di seluruh negeri ini.

“Ini kita telah mulakan sejak tahun 2018 lagi, kerana kita ada lebihan sedikit peruntukan kewangan, kerana kita mendapat hasil yang baik, kita ada kestabilan politik, dan ia membolehkan kerajaan memberi bantuan untuk membuat kerja-kerja membantu kebajikan rakyat di negeri Pahang.
“Alhamdulillah, setakat ini mengikut angka yang ada pada saya, untuk penggal ini sahaja 300,000 orang yang telah mendapat sentuhan daripada Kerajaan Negeri dalam pelbagai bentuk bantuan termasuklah yang sakit, demam, anak-anak sekolah, bakul makanan yang kita bagi baru-baru ini dan lain-lain,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Pada majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan lembu korban dalam bentuk kewangan kepada pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini sebagai penghargaan terhadap jasa mereka dalam memastikan keamanan dan kestabilan negeri serta negara.

Tambahnya, hasil negeri Pahang yang mencatatkan peningkatan melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut membolehkan Kerajaan Negeri meneruskan pelbagai inisiatif bantuan kepada rakyat termasuk bantuan kepada bakal jemaah haji yang berdaftar di Pahang menerusi pemberian wang saku sebanyak RM750 seorang.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat agar terus mendoakan Kerajaan Negeri Pahang agar dijauhkan dari segala tohmahan fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negeri ini.
“Dan yang pentingnya kita nak negeri Pahang ini stabil, itu sahaja… supaya bantuan-bantuan ini kita dapat teruskan di masa-masa akan datang,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan penerima supaya menggunakan bantuan yang diterima mengikut tujuan permohonan serta mematuhi prosedur ditetapkan kerana audit dan pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. -PAHANGMEDIA

