Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 19 MEI 2026 : Bantuan menerusi Insentif Atlet Makmur 2026 yang disalurkan Kerajaan Negeri Pahang disifatkan sebagai suntikan semangat kepada atlet untuk terus berjuang mengharumkan nama negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Atlet kriket Pahang, Musfirah Nur Ainaa Baiti Azmi, 21, berkata, bantuan tersebut akan digunakan bagi menampung keperluan sepanjang menjalani latihannya.

Menurut beliau, perhatian yang diberikan Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Pahang membuktikan kebajikan atlet sentiasa diberikan keutamaan.
“Saya sudah mewakili Pahang sejak umur 12 tahun dan sekarang berada dalam skuad National Pool.
“Saya rasa saya akan guna untuk pergi ‘training and out’ lah. Saya nak cakap terima kasih kepada Majlis Sukan Pahang sebab bagi kami bantuan seperti ini supaya atlet semua termotivasi untuk pergi latihan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kem Atlet Golden Elephant Warrior SUKMA XXII Selangor 2026 dan Majlis Penyampaian Insentif Atlet Makmur 2026 bertempat di Resort World Awana Genting Highlands, di sini hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohamad Kamal serta YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan terhadap atlet negeri ini.

Sementara itu, atlet olahraga acara lompat jauh, Muhammad Naufal Arif Mohd Nasrul Haizam, 16, berkata, bantuan yang diberikan membuatkan atlet berasa dihargai dan terbela.
Katanya, beliau mula mewakili Pahang sejak berusia 12 tahun dan menyifatkan Kerajaan Negeri sangat mengambil berat tentang kebajikan atlet.
“Kerajaan bantu atlet-atlet macam kami semua… rasa terharu, terbela, dan mereka anggap kita macam anak-anak mereka. Macam negeri lain memang takkan dapat macam apa yang Kerajaan Negeri Pahag bagi kepada kami.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada MSP kerana bagi kami sumbangan sebanyak RM300 dan terima kasih juga kepada YB Fadzli dan YAB. Menteri besar Pahang, Tok Wan,” ujarnya.

Bagi atlet bola tampar negeri, Pang Gia Qi, 19, pula bantuan tersebut menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan persembahan terbaik buat Pahang.
Menurut beliau, dia mula mewakili Pahang sejak berusia 15 tahun dan berazam membalas kepercayaan Kerajaan Negeri dengan pencapaian cemerlang pada temasya SUKMA nanti.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar Pahang atas sumbangan ini. Saya akan buat yang terbaik,” katanya. -PAHANGMEDIA

