Oleh: Nur Saadah Artika
CAMERON HIGHLANDS, 18 MEI 2026 : Seramai 60 usahawan peladang di daerah Lipis dan Jerantut bakal menerima manfaat menerusi pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat iaitu Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di negeri ini.
Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup usahawan peladang terlibat, selain membuka peluang untuk memperkukuh pendapatan serta mengembangkan aktiviti pertanian secara lebih mampan.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik itu ditandatangani oleh YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar dan YH Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Pahang, Dato’ Haji Zamri Yaakob di Rosa Conference Hall, Hotel De’La Ferns Cameron Highlands, hari ini.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak.
Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik di antara Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
IPR-INTAN merupakan salah satu pelaksanaan di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat oleh Kementerian Ekonomi dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia, khususnya golongan usahawan tani dan komuniti luar bandar.
Bagi wilayah Pantai Timur, ECERDC dipertanggungjawabkan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif berkenaan berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Turut hadir, YH Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sharuddin Jali; YBhg. Pengurus Kanan Bahagian Perniagaan Tani Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Encik Ismail Surip; dan YBhg. Pengarah Lembaha Pertubuhan Peladang Negeri Pahang, Encik Muhammad Azzrinie Shafieserta. -PAHANGMEDIA

