Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 17 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan sebanyak 20,000 permohonan Program Permata Makmur diterima setiap tahun bagi memastikan lebih ramai bayi yang lahir di negeri ini mendapat manfaat bantuan awal pendidikan dan kebajikan yang disediakan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, sambutan terhadap program berkenaan amat menggalakkan apabila lebih 2,000 permohonan telah diterima setakat Mei tahun ini bagi kelahiran tahun 2026.
“Kerajaan Negeri masih membuka permohonan Program Permata Makmur termasuk untuk bayi yang lahir pada tahun 2023, 2024 dan 2025, manakala permohonan bagi tahun 2026 juga telah dibuka.

“Sehingga bulan ini, kita telah menerima lebih 2,000 permohonan bagi tahun 2026 dan Kerajaan Negeri menyasarkan 20,000 permohonan setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir selaku rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi merasmikan Sambutan Hari Ibu Tahun 2026 Peringkat Negeri Pahang di Timorra Venue, di sini hari ini.
Tambahnya, bantuan yang diberikan menerusi program itu melibatkan RM300 bagi setiap penerima, iaitu RM50 dalam bentuk barangan keperluan bayi manakala RM250 disalurkan dalam bentuk simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Katanya, program berkenaan merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu meringankan beban ibu bapa selain menggalakkan simpanan pendidikan anak-anak sejak lahir.

“Saya juga ingin menguar-uarkan kepada orang ramai supaya mengambil peluang memohon bantuan ini kerana penyertaannya masih dibuka,” katanya.
Dalam majlis sama, seramai 30 penerima menerima manfaat Program Permata Makmur dan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menambah sumbangan RM100 simpanan SSPN kepada bayi yang hadir pada program tersebut.
Sabariah turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kerana konsisten menganjurkan Sambutan Hari Ibu setiap tahun sebagai penghargaan kepada golongan ibu dan institusi keluarga.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Program Permata Makmur akan diteruskan pada masa hadapan memandanglan kedudukan kewangan negeri yang semakin baik dan memberangsangkan. -PAHANGMEDIA

