JERANTUT, 17 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan penghargaan kepada Institut Jantung Negara (IJN) atas komitmen berterusan membantu rakyat negeri ini khususnya masyarakat pedalaman menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan penyampaian bantuan alat perubatan oleh IJN serta bantuan kepada golongan asnaf di Kampung Bantal, di sini semalam.

Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib bersama 27 wakil IJN.
Paduka Baginda bertitah, IJN merupakan institusi perubatan bertaraf antarabangsa yang banyak berjasa dalam menyelamatkan nyawa pesakit serta melahirkan ramai pakar perubatan tempatan berkemahiran tinggi.

Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani yang pernah terlibat dalam prosedur pemindahan jantung, sekali gus membuktikan kemampuan anak tempatan Malaysia dalam bidang kepakaran perubatan.
“Itulah kelebihan anak Melayu Malaysia kita,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga IJN yang banyak membantu Baginda dan keluarga Diraja dalam aspek rawatan kesihatan sejak sekian lama.
“Ini bermakna Pahang dan IJN berpisah tiada,” titah Baginda sambil menzahirkan harapan agar IJN akan terus kembali ke negeri ini bagi melaksanakan program kebajikan serta kesedaran kesihatan untuk rakyat.

Menurut Paduka Baginda, kerjasama antara Pahang dan IJN bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini pelbagai program CSR turut dilaksanakan di Pulau Tioman.
Dalam program kali ini, IJN turut menyumbang pelbagai peralatan perubatan kepada klinik di Kampung Bantal dan Kuala Sat termasuk Automated External Defibrillator (AED) serta mesin pemeriksaan tekanan darah mudah alih.
Paduka Baginda bertitah, program seumpama itu amat penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan kesihatan dan kebersihan yang perlu diberi perhatian.-PAHANGMEDIA
Sumber : Kesultanan Pahang

