Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Pahang akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi membincangkan isu pengurusan dan eksport pasir di Pahang secara menyeluruh bagi memastikan kepentingan negeri, kesejahteraan rakyat serta peningkatan hasil negeri dapat dijana dengan sebaiknya.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata isu pengurusan dan eksport pasir di Pahang tidak wajar dijadikan polemik atau dilihat semata-mata daripada sudut keuntungan komersial kerana ia turut melibatkan aspek keselamatan rakyat, mitigasi banjir dan kelestarian sungai.
“Kerja pengorekan dan pendalaman sungai khususnya di kawasan hilir serta muara perlu difahami dalam konteks lebih luas termasuk pengurusan alam sekitar, kelangsungan industri dan penjanaan hasil negeri,” katanya.
Jelas beliau lagi, mendapan pasir yang berlaku secara berterusan akibat hakisan tanah dan aliran sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek sekali gus meningkatkan risiko limpahan air dan banjir terutama ketika musim tengkujuh.
“Sebab itu, kerja-kerja pengorekan dan mendalamkan sungai di kawasan tertentu tidak boleh dilihat semata-mata sebagai aktiviti ekonomi atau perlombongan pasir.
“Hakikatnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah mitigasi banjir dan pengurusan sungai yang penting demi keselamatan rakyat serta kelestarian sistem sungai di negeri ini,” katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, sekiranya kerja pendalaman sungai tidak dilaksanakan menerusi kaedah konsesi pasir yang terkawal, Kerajaan Negeri perlu menanggung kos besar menggunakan dana awam bagi kerja penyelenggaraan sungai dan pelaksanaan langkah tebatan banjir secara berterusan.
“Pada masa yang sama, sekatan permit eksport pasir sungai yang dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini telah memberi kesan langsung kepada operasi industri pasir di Pahang, khususnya melibatkan kawasan hilir dan muara sungai yang sememangnya memerlukan kerja pendalaman secara berkala,” ujarnya.
Sementara itu, dalam sesi pergulungan berkenaan, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi tahniah ke sisi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasukan Baginda yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal atasi kejayaan menawan puncak Gunung Kinabalu menerusi Ekspedisi Mahkota Borneo pada hari Rabu lalu.
“Sesungguhnya kejayaan ini bukan sahaja menjadi lambang keberanian dan disiplin yang tinggi, malah turut menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat, khususnya golongan muda agar terus membina jati diri yang kukuh, berdaya tahan serta mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

