Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Program Mara Lasak Pahang edisi ketiga bakal tampil dengan wajah baharu apabila penyertaannya akan dibuka kepada masyarakat luar Pahang susulan sambutan memberangsangkan pada edisi lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, langkah tersebut bertujuan untuk memperkenalkan keindahan alam semulajadi di negeri ini.
“Kita nak tunjuk kepada mereka kehebatan acara Mara Lasak Pahang ini sambil mempopularkan keindahan alam semula jadi yang terdapat di Negeri Pahang ini.
“Untuk mempopularkan kelebihan-kelebihan yang ada di Pahang dari segi keindahan alam semulajadinya gunung-ganang yang cantik, bukit-bukau dan sungai yang indah bagi tujuan pelancongan juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB Tuan V Arumugam A/L A Veerappa Pilai pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Tambahnya, acara tersebut dianjurkan bagi membudayakan sukan lasak dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, selain membudayakan semangat berpasukan yang tinggi dan perpaduan di negeri ini.
“Acara Mara Lasak Pahang ini adalah untuk membudayakan sukan lasak dan aktiviti sihat di Negeri Pahang, khususnya pada generasi muda dan membudayakan semangat berpasukan yang tinggi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Negeri Pahang,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata penganjuran Mara Lasak Pahang akan diperluas ke seluruh daerah negeri ini selaras dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Seperti mana titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Mara Lasak Pahang ini akan dilaksanakan di setiap daerah di Negeri Pahang.
“Tahun lalu di Ulu Dong, Raub baru-baru ini di Felda Chini, Pekan dan insyaAllah kita akan laksanakan di daerah-daerah lain selepas pada ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

