Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM7.56 juta bagi pelaksanaan Program Jualan Makmur Kluster Perayaan tahun ini dalam usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah menjelang musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chong Siang berkata, program itu dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas dan Hari Raya Aidiladha.
“Jualan Makmur ini diadakan menjelang setiap musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Deepavali, Hari Krismas dan tidak lama lagi sambutan Hari Raya Haji yang bakal tiba,” katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut memperkasakan kesedaran pengguna melalui aplikasi Price Catcher yang membolehkan pengguna menyemak dan membandingkan harga barangan di premis terpilih.
Aplikasi dengan slogan “Semak Harga, Bijak Belanja” itu membantu rakyat berbelanja dengan lebih bijak sekali gus mengurangkan kos sara hidup.
Ia memaparkan harga semasa 60 barangan harian termasuk ayam, ikan, sayuran dan telur, selain 139 barangan kering yang dikemas kini setiap minggu serta 18 barangan terpilih secara bulanan. -PAHANGMEDIA

