Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Seramai 31,296 rakyat Pahang menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM43.69 juta bagi tempoh Januari hingga Mac 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, bantuan tersebut merangkumi bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang disalurkan secara bulanan kepada penerima yang layak.
“Sehingga Mac 2026, jumlah keseluruhan penerima bantuan bulanan JKM di Negeri Pahang adalah seramai 31,296 orang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM43,690,500 bagi tempoh Januari hingga Mac 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB Tuan Mohd Zakhwan Bin Ahmad Badarddin pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan bertujuan membantu golongan memerlukan serta meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan berbagai bentuk bantuan kewangan kepada rakyat negeri ini bagi meringankan beban serta menangani peningkatan kos sara hidup semasa,” katanya.
Menurutnya lagi, bantuan itu melibatkan pelbagai kategori penerima termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar, kanak-kanak serta golongan yang tidak berkemampuan di seluruh negeri.
“Secara keseluruhannya pelaksanaan skim bantuan ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam bantu golongan yang memerlukan khususnya warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak serta pesakit terlantar demi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus terpelihara” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

