Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Sebanyak 1,348 unit Rumah Rakyat Pahang bernilai hampir RM101 juta telah siap dibina di seluruh negeri setakat 30 April 2026, dengan 623 unit lagi kini dalam proses pembinaan, sekali gus menjadikan hampir 2,000 unit rumah percuma berjaya disediakan kepada rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan Negeri Pahang terus komited menyediakan skim perumahan mampu milik dan kediaman percuma bagi membantu rakyat memiliki rumah yang selesa serta berkualiti mengikut kemampuan masing-masing.
“Sebanyak 1,348 unit rumah dengan nilai hampir RM101 juta telah siap dibina dan sebanyak 623 lagi dalam proses pembinaan. Alhamdulillah, hampir 2,000 unit rumah percuma telah diberikan kepada rakyat negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim bin Haji Md Zain pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, pelbagai skim perumahan telah dilaksanakan termasuk Rumah PR1MA Pahang, Rumah Makmur serta Projek Residensi Rakyat bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.
“Sebagai contoh, Rumah PR1MA Pahang ditawarkan pada harga RM150,000 kepada pemohon dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM10,000 sebulan walaupun nilai pasaran sebenar rumah tersebut hampir mencecah RM400,000.
“Kerajaan Negeri memberikan subsidi yang tinggi bagi memastikan rakyat berpeluang memiliki rumah pada harga lebih rendah dan mampu milik,” katanya. -PAHANGMEDIA

