Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan model Sekolah Komprehensif 9 (K9) dalam menangani isu keciciran murid khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, pendekaran tersebut dilaksanakan bagi memastikan murid dapat meneruskan pendidikan secara berterusan tanpa perlu berpindah.
Katanya, model K9 menggabungkan pendidikan rendah (tahun satu sehingga tahun enam) dan menengah rendah (tingkatan satu sehingga tingkatan tiga) di bawah satu sekolah yang sama.
“YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mencadangkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mewujudkan Sekolah komprehensif (K9) iaitu tahun satu sampai tahun enam dan tingkatan satu sampai tingkatan tiga di tempatkan di satu tempat yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Dr Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, YAB Menteri Besar Pahang turut mencadangkan sekolah berkenaan dinaik taraf kepada model K11 iaitu sehingga tingakatan lima.
“YAB Menteri Besar Pahang telah mencadangkan supaya dinaik taraf menjadi sekolah K11 iaitu sampai tingkatan lima, Alhamdulillah pihak kementerian telah meluluskan.
“Ini antara contoh pendekatan bagaimana usaha yang telah dibuat oleh kerajaan negeri. Ini telah memberi kesan impak yang begitu besar dan insyaAllah ianya juga akan menyumbang kepada prestasi negeri ini dalam aspek pensijilan seperti Sijil Pendidikan Malaysia (SPM),” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri Pahang turut melaksanakan pelbagai langkah mitigasi lain termasuk menambah baik infrastruktur jalan raya dan jeti, menyusun semula laluan pengangkutan murid serta memperluaskan kapasiti asrama.
“Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Negeri dan agensi berkaitan sentiasa memastikan struktur jalan raya dan jeti ditambah baik untuk memastikan perjalanan ke sekolah lebih selamat dan pantas.
“Kemudian ada disesetengah tempat kita menyediakan asrama bagi memastikan pelajar-pelajar itu tadi tidak terganggu dari segi perjalanan jauh untuk ke sekolah,” katanya. -PAHANGMEDIA

