Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Pahang memberi fokus terhadap penggantian sepanjang 607.3 kilometer paip air kritikal dan usang di seluruh negeri ini sebagai langkah memperkukuh sistem bekalan air serta mengurangkan gangguan kepada pengguna.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jajaran paip yang terlibat dikenal pasti berada pada tahap sangat kritikal selain kerap mengalami kebocoran dan kerosakan.
“Daripada keseluruhan 607.3 kilometer paip yang dikenal pasti, sebanyak 94.3 kilometer telah siap diganti, manakala 101 kilometer sedang dalam pembinaan dan baki 412 kilometer berada pada peringkat prapembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YB Tuan Hassanuddin Salim pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Jelas beliau lagi, Daerah Kuantan merekodkan jajaran paip tertinggi untuk diganti iaitu sepanjang 105 kilometer dengan 3.1 kilometer telah siap dilaksanakan.
“Daerah Raub pula melibatkan keseluruhan 65.6 kilometer paip, dengan 36.6 kilometer telah siap diganti manakala baki 29 kilometer berada pada peringkat prapembinaan,” katanya.
Menurut beliau, projek penggantian paip itu melibatkan kos RM290 juta dan menjadi antara langkah penting Kerajaan Negeri dalam menangani isu bekalan air di Pahang.
“Pelaksanaan projek itu merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri yang bermula sejak tahun 2022 dan akan dilaksanakan secara berfasa sehingga 2031.
“Negeri Pahang mempunyai keseluruhan rangkaian paip air melebihi 15,000 kilometer yang meliputi kawasan bandar, luar bandar, pedalaman serta kawasan dengan bentuk muka bumi mencabar.
“Berdasarkan analisis teknikal oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), kira-kira 23 peratus atau 3,450 kilometer daripada keseluruhan paip masih menggunakan jenis asbestos cement (AC) dan akan digantikan dengan paip jenis mild steel cement lining (MSCL),” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Tioman, YB Dato’ Sri Mohd Johari Hussain mengenai kos keseluruhan penggantian paip lama, beliau berkata, kerajaan negeri memerlukan kira-kira RM3 bilion bagi menukar sepenuhnya paip jenis AC kepada MSCL.
Tambahnya, kerajaan negeri turut menerima peruntukan di bawah Program Pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) kebangsaan sebanyak RM138.2 juta, selain pembiayaan daripada PAIP dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah RM146.5 juta.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri bersama PAIP akan terus komited memperkukuh sistem bekalan air negeri bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, stabil dan berkualiti, sekali gus memenuhi keperluan rakyat serta menyokong pembangunan negeri secara mampan,” katanya. -PAHANGMEDIA

