Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 13 MEI 2026 : Operasi khas “Ops Hawk” yang dilaksanakan secara konsisten oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menjadi antara benteng utama dalam membendung penyalahgunaan dadah di kawasan tanah rancangan FELDA di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan setiap bulan dengan memberi fokus kepada kawasan FELDA dan luar bandar.
“Dari sudut penguatkuasaan, PDRM melalui JSJN Pahang telah melaksanakan Ops Tapis Khas atau Ops Hawk secara konsisten setiap bulan dengan memberi fokus kepada kawasan FELDA dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, YB Tuan Nazri Ahmad pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, statistik tangkapan di kawasan FELDA menunjukkan penurunan apabila sebanyak 2,792 tangkapan direkodkan pada tahun 2024 berbanding 1,824 tangkapan pada tahun 2025, manakala 445 tangkapan dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Jelasnya, trend penurunan tersebut menunjukkan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan berterusan, operasi bersasar serta intervensi komuniti dalam membendung penyalahgunaan dadah di kawasan FELDA.
“Trend statistik menunjukkan penurunan jumlah kes dan tangkapan dari tahun 2024 ke 2025, sekali gus memberi petunjuk bahawa pendekatan penguatkuasaan berterusan, operasi bersasar dan intervensi komuniti mula menunjukkan kesan positif,” katanya.
Selain penguatkuasaan, kerajaan negeri turut mempergiat usaha pencegahan melalui program pendidikan dan kesedaran awam termasuk ceramah, kempen serta aktiviti gaya hidup sihat di sekolah dan komuniti FELDA.
“Kerajaan Negeri optimis pendekatan bersepadu ini mampu memastikan komuniti FELDA di Pahang kekal aman, sejahtera dan bebas daripada ancaman dadah,” katanya. -PAHANGMEDIA

