Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 MEI 2026 : Kerajaan Pahang memberi penekanan serius terhadap pengukuhan promosi pelancongan domestik dan antarabangsa menerusi penyertaan aktif dalam pelbagai ekspo pelancongan global sepanjang tahun 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, penyertaan dalam ekspo pelancongan merupakan platform strategik bagi memperkukuh jaringan kerjasama sedia ada selain membuka peluang perniagaan baharu dalam industri pelancongan.
Menurut beliau, pendekatan ini juga membolehkan kerajaan negeri berinteraksi secara langsung dengan pemain industri bagi memahami keperluan semasa serta trend terkini sektor pelancongan.
“Ekspo pelancongan ini penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama, meneroka peluang perniagaan baharu dan membolehkan kita bertemu secara terus dengan pemain industri untuk memahami perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Md Zain dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan strategi promosi pelancongan kini turut diperkasa dengan pendekatan digital dan media sosial sejajar perubahan landskap semasa.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh promosi digital dan penggunaan media sosial bagi memastikan produk pelancongan Pahang dapat dipasarkan secara lebih meluas, khususnya kepada pelancong antarabangsa,” ujarnya.
Bagi mempergiat promosi domestik, kerajaan negeri turut merancang siri jelajah ke beberapa negeri termasuk Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Perak melalui penyertaan dalam pelbagai pameran pelancongan sepanjang tahun ini.
Selain itu, tiga acara utama pelancongan bakal dianjurkan di Kuantan dalam tempoh terdekat iaitu Mah Tourism Fair (29 hingga 31 Mei), MATTA Fair Pahang (19 hingga 21 Jun) serta Star Carnival Cuti-Cuti Malaysia (3 hingga 5 Julai), yang semuanya akan berlangsung di East Coast Mall.
Kerajaan Negeri optimis usaha berterusan ini akan memastikan sektor pelancongan Pahang kekal berdaya tahan, kompetitif serta terus menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri menjelang 2026. -PAHANGMEDIA

