KUNDASANG, 12 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memulakan pendakian Gunung Kinabalu hari ini bersempena Ekspedisi Kembara Mahkota Borneo.

Sebelum memulakan pendakian pada pukul 8 pagi, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku berkenan mendengar taklimat keselamatan dan laluan pendakian oleh Renjer Taman Kinabalu, Encik Julaimin di Checkpoint Timpohon.
Turut mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

Majlis turut disusuli dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar bagi memohon agar seluruh perjalanan pendakian Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dan rombongan dipermudahkan serta berada dalam keadaan selamat.

Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku kemudiannya memulakan pendakian bersama rombongan sebelum selamat tiba di Checkpoint Panalaban pada jam 3.45 petang.
Paduka Baginda dijadualkan meneruskan pendakian menuju ke puncak Gunung Kinabalu pada pukul 2 pagi esok bagi menyempurnakan ekspedisi berkenaan.-PAHANGMEDIA
Sumber – KESULTANAN PAHANG

