Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Sebanyak 67 kawasan di bawah Projek Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang (STRFP) kini masih berada di peringkat kerja ukur dan penyediaan pelan oleh pihak FELDA melalui juruukur berlesen sebelum proses pemberimilikan kepada generasi baharu FELDA dapat dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, proses tersebut sedang dipercepatkan dengan sasaran penyelesaian dalam tahun 2026.
“67 kawasan ini masih berada di peringkat kerja ukur dan penyediaan pelan oleh pihak FELDA melalui juruukur berlesen dan proses ini sedang dipercepatkan dengan sasaran penyelesaian dalam tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dalam Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, sehingga kini pelan ukur bagi enam lokasi telah dikemukakan kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang untuk semakan teknikal melibatkan keseluruhan 1,236 lot.
“Enam lokasi tersebut ialah FELDA Keratong 05 (71 lot), FELDA Selendang 02 (85 lot), FELDA Jengka 05 (333 lot), FELDA Jengka 14 (334 lot), FELDA Jengka 20 (176 lot) dan FELDA Jengka 20 Tapak Kedua (237 lot).
“Pihak PTG Pahang telah melaksanakan semakan dan pengesahan awal terhadap lot-lot tersebut sebelum dimajukan kepada Pejabat Daerah dan Tanah bagi proses pemilihan peserta yang layak untuk diperakukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi tujuan pemberimilikan,” katanya.
Tambah beliau, setiap lot ditetapkan dengan keluasan 3,000 kaki persegi tertakluk kepada kesesuaian kawasan pembangunan.
Dalam perkembangan sama, Mesyuarat Penyelarasan STRFP Bilangan 2 Tahun 2026 pada 16 April lalu bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Teknikal dan Task Force khas diketuai PTG Pahang bersama Pejabat Daerah dan Tanah, FELDA Wilayah Kuantan, Jengka dan Mempaga serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) sebagai penasihat teknikal.
Selain itu, satu bengkel penyelarasan spesifikasi teknikal kerja ukur dan pembangunan perumahan STRFP akan diadakan pada 21 Mei ini melibatkan semua agensi berkaitan bagi memuktamadkan pelan pembangunan projek tersebut.
Kerajaan Negeri akan terus komited dalam memastikan pelaksanaan STRFP berjalan lancar demi memberi manfaat kepada generasi baharu FELDA yang layak di seluruh negeri ini. -PAHANGMEDIA

