Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Kerajaan Pahang meminta pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) meneliti semula mekanisme penjualan tiket perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadual beroperasi pada tahun hadapan bagi memastikan rakyat negeri ini tidak terpinggir.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu dibangkitkan susulan kebimbangan terhadap kapasiti penumpang yang terhad bagi setiap perjalanan.
Menurut beliau, setiap tren ECRL hanya mampu menampung kira-kira 400 penumpang bagi satu perjalanan sekali gus menimbulkan kebimbangan tiket akan habis terjual dalam tempoh singkat.
“Kita bimbang kerana setiap perjalanan hanya boleh memuatkan kira-kira 400 penumpang. Jadi kita khuatir tiket akan habis dibeli lebih awal sehingga menjejaskan penumpang dari Pahang dan Terengganu.
“Saya minta pihak MRL mengkaji perkara ini, termasuk mempertimbangkan agihan peratusan tertentu bagi memastikan semua negeri mendapat peluang yang adil. Kita faham mereka menjalankan perniagaan, namun aspek keseimbangan itu perlu diberi perhatian.
“Selain itu, kita juga berharap penjualan tiket tidak dibuat secara blok, khususnya pada musim perayaan kerana dibimbangi ia akan menyebabkan tiket habis dibeli oleh pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Tambah beliau, operasi awal ECRL yang dijangka bermula pada awal tahun hadapan hanya melibatkan laluan sehingga ke Gombak terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke kawasan Lembah Klang.
“ECRL dijangka siap pada hujung tahun ini dan akan mula beroperasi pada awal tahun hadapan. Pada peringkat permulaan, operasi hanya melibatkan laluan sehingga ke Gombak dan belum sampai ke Lembah Klang,” katanya. -PAHANGMEDIA

