Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Kerajaan Pahang memberi jaminan bahawa pelaksanaan program di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang bukan sekadar bersifat bermusim, sebaliknya dirangka secara strategik bagi memastikan impak jangka panjang melalui beberapa pendekatan utama.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, pelaksanaan program tersebut adalah berasaskan data serta keperluan sebenar wanita di negeri ini supaya setiap inisiatif yang diperkenalkan lebih relevan, tepat sasaran dan berfokus.
“Pelaksanaan program ini berasaskan data serta keperluan sebenar wanita di Negeri Pahang bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan lebih relevan, tepat sasaran dan berfokus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB Dato’ Haji Abd Aziz Mat Kiram pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Selain itu, kerajaan negeri turut menetapkan mekanisme pemantauan dan penilaian secara berkala bagi menilai keberkesanan program, di samping melaksanakan penambahbaikan berterusan mengikut keperluan semasa.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap program kekal efektif serta memberi manfaat optimum kepada kumpulan sasar.
Dalam masa sama beliau berkata, pelaksanaan program di bawah dasar berkenaan turut disokong melalui peruntukan kewangan yang dirancang secara berfasa, selain kerjasama strategik melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta bagi menjamin kesinambungan pelaksanaannya.
“Kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap pembangunan kapasiti wanita melalui latihan kemahiran, pembangunan kepimpinan serta pemerkasaan ekonomi agar golongan wanita mampu berdikari dan meningkatkan taraf hidup dalam jangka Panjang,” katanya. -PAHANGMEDIA

