Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) 2025 atau Skim LINDUNG 24 Jam dijangka dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Jun ini, sekali gus memperluas jaringan perlindungan sosial kepada pekerja termasuk bagi kemalangan di luar waktu kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chong Siang berkata, PERKESO menyedari keperluan reformasi sistem perlindungan sosial negara agar lebih menyeluruh dan relevan.
“Sehubungan itu, PERKESO telah mengambil langkah proaktif apabila Rang Undang-Undang (RUU) Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) 2025 diluluskan di Dewan Negara pada 18 Disember 2025 dan dijangka dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Skim LINDUNG 24 Jam memberi perlindungan kepada pekerja yang layak sepanjang tempoh penggajian termasuk bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkaitan secara langsung dengan pekerjaan.
Antara manfaat yang disediakan termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat serta Faedah Pemulihan dan Pendidikan.
Menurut statistik PERKESO, sebanyak 43,168 kes kemalangan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] telah ditolak dan diputuskan sebagai bukan bencana kerja bagi tempoh 2012 hingga 31 Disember 2025.
Dalam pada itu, kerajaan negeri bersama PERKESO turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial.
“Antaranya termasuk kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen dan ADUN di Pahang, pelaksanaan program publisiti menerusi media sosial dan media arus perdana serta penganjuran program kesedaran seperti Program PERKESO Melindungi dan jerayawara di seluruh negara,” katanya.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Skim LINDUNG 24 Jam melalui pejabat PERKESO di Pahang atau mengakses platform rasmi PERKESO serta talian khidmat pelanggan 1-300-22-8000. -PAHANGMEDIA

