Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Kerajaan Pahang terus komited menangai masalah banjir di negeri ini apabila sebanyak 18 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) melibatkan kos keseluruhan RM3.184 bilion sedang giat dilaksanakan di seluruh negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 projek telah bermula secara fizikal di tapak, enam projek masih dalam proses reka bentuk manakala satu lagi projek baharu diluluskan menerusi Rolling Plan Pertama (RP1) RMKe-13.
“Senarai projek tersebut banyak yang telah bermula secara fizikal di tapak…ada 11, antaranya adalah menyiapkan bagi kerja bagi rancangan tebatan banjir Bandar Pekan.
“Yang kedua Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan, RTB Sungai Kuantan dan juga di daerah Temerloh juga ada. Ada 11 termasuk Lipis pun ada, di Bera pun ada.
“Manakala projek yang dalam proses reka bentuk ada enam, di Temerloh pun ada iaitu di Semantan, di Bentong pun ada RTB Lembangan Sungai Pahang (dengan) RM227 juta kos projek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Tuan V. Arumugan A/L A. Veerappa Pillai dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau turut memaklumkan projek Pembinaan Ban Banjir di Lipis melibatkan kos RM14.6 juta telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMKe-13.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan yang dikemukan ADUN Sabai berkaitan projek RTB di Bentong yang bermula bermula pada November 2025, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata projek tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2029 sekiranya pelaksanaan berjalan lancar.
Katanya, antara skop utama projek ialah kerja mendalamkan sungai bagi mempercepatkan aliran air, pembinaan ban banjir untuk mengukuhkan tebing sungai serta penaiktarafan empangan di kawasan Lembah Klau dan Perting.
Beliau berkata, keberkesanan projek tebatan banjir yang telah siap sebelum ini turut dapat dilihat apabila beberapa kawasan yang dahulunya sering dilanda banjir besar kini berjaya diminimumkan impaknya.
Antara projek yang telah siap ialah RTB Bandar Maran Fasa 1, PLSB Sungai Kuantan Fasa 2 serta RTB Lembah Bertam Cameron Highlands yang disiapkan masing-bermula daritahun 2020 sehingga 2024. -PAHANGMEDIA

