Oleh : Aimi Syafiqa
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Pahang mengorak langkah memperkukuh jaringan pengangkutan awam dan merangsang pertumbuhan ekonomi apabila tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini bakal dibangunkan sebagai hab pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pelaburan dan Pembangunan Berorientasikan Transit serta Projek Pemecut Ekonomi (TOD/EAP) bagi memantau kemajuan pembangunan di kawasan sekitar stesen ECRL.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memastikan setiap pembangunan dirancang secara menyeluruh dan berimpak tinggi kepada rakyat serta ekonomi negeri.
“Selain itu, PLANMalaysia Pahang turut melaksanakan Kajian Sistem Pengangkutan Awam di Daerah Kuantan bagi memastikan kesinambungan mod pengangkutan antara Stesen ECRL KotaSAS, Terminal Sentral Kuantan dan Bandar Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Lanchang, YB Tuan Hasan Omar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Tambah beliau, daerah Kuantan dan Bentong antara lokasi utama yang dikenal pasti bagi pelaksanaan projek pembangunan kompleks perhentian bersepadu serta kemudahan pengangkutan awam.
“Antara projek yang dirancang ialah Terminal Bersepadu dengan Pusat Komersial di Stesen Bentong serta Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu di Stesen Paya Besar, Kuantan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuantan, Bentong, Temerloh dan Maran akan mengadakan sesi libat urus lanjut bagi memastikan sistem pengangkutan di stesen ECRL dapat beroperasi secara lebih teratur dan efisien.
“Mesyuarat Ketersambungan Pengangkutan Awam di Stesen ECRL Negeri Pahang telah diadakan pada 21 April 2026 melibatkan operator pengangkutan awam di empat daerah terbabit.
“Kerjasama bersama penyedia perkhidmatan bas henti-henti, teksi dan e-hailing akan diperkukuh bagi memastikan ketersambungan perkhidmatan, meningkatkan aksesibiliti serta menjamin keselamatan di kesemua tujuh stesen ECRL di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, semua cadangan hasil sesi libat urus tersebut akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan keputusan, bagi memastikan sistem pengangkutan awam yang menyokong ECRL berada pada tahap optimum serta memberi manfaat kepada rakyat. -PAHANGMEDIA

