Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 10 MEI 2026 : Lebih 50 ahli Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Cameron Highlands termasuklah Timbalan Ketua Bahagiannya, Muhammad Azmi Abdullah menyerahkan surat permohonan kembali bersama dengan UMNO hari ini.
Encik Muhammad Azmi yang juga Setiausaha Bahagian Bersatu berkata tindakannya meninggalkan parti berkenaan dan kembali semula kepada UMNO kerana merasa pengorbanannya selama lapan tahun kepada Bersatu adalah perkara yang sia-sia.
“Hari ini merupakan hari yang cukup bersejarah bagi saya setelah lapan tahun saya tinggalkan UMNO. Dalam bersatu saya memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian merangkap Setiausaha Bahagian.
“Tapi sedia maklum tugas dan peranan setiausaha bahagian memang cukup penat apatah lagi dalam keadaan kewangan dibekukan dan sebagainya memang amat mencabar kepada kami.
“Saya tak kisah itu, cuma saya nampak perjuangan saya macam sia-sia selama lapan tahun. Saya tak nampak apa yang perlu kami sebagai pembangkang di Jelai ni (buat) sebab kami lihat apa yang Menteri Besar buat memang dah cukup cantik,” katanya.

Tambahnya berdasarkan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh YAB. Menteri Besar Pahang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai di kawasan Jelai sudah cukup dan tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Menteri Besar dah buat kerja yang cukup baik. Jadi kami tak ada point untuk berada di Jelai ni sebenarnya. Di sinilah (UMNO) bermulanya. Jadi saya nak kembali semua ahli keluarga saya dan bergerak bersama-sama dengan kepimpinan yang ada pada hari ini untuk PRU akan datang. Saya akan tinggalkan semua dan terus berjuang dalam UMNO.
“Saya sedia berkhidmat. Pada saya, saya nak menyumbang tapi saya tak boleh kerana terikat di situ. Dan apatah lagi macam kami, saya ahli, kami segan kepada Menteri Besar. Kami cukup hormat segan kepada Menteri Besar.
“Saya sendiri secara peribadi daripada saya tak boleh menyumbangkan sesuatu, jadi saya kembali kepada asas saya yang mana saya amat rindu dan ini pilihan yang sangat tepat bagi saya. Mudah mudahan ia titik penting bagi kami untuk kami terus menyumbang dan bergerak bersama dengan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik YAB. Menteri Besar Pahang, Encik Mohd Farid Mohd Nor berkata proses penghijrahan bekas ahli UMNO kembali kepada parti ini merupakan petanda positif dan dilihat dapat memperkukuh kekuatan orang Melayu dan institusi politik bangsa selari dengan gagasan Rumah Bangsa.
“Sejak gagasan Rumah Bangsa ini dilancarkan kita menerima permohonan secara individu sebenarnya tetapi hari ini kita dapat sekumpulan orang balik semula, memohon untuk menyertai UMNO tahun ini.
“Ini satu petanda yang sangat positif kepada gagasan Rumah Bangsa yang diasaskan oleh Presiden dan satu manifestasi keyakinan dan kepercayaan rakyat, masyarakat, kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
“Sejak 2018 keadaan Malaysia ini dah tak sama macam dulu. Jadi satu satunya cara untuk memulihkan negara ini adalah dengan memperkukuhkan UMNO kerana UMNO ada pengalaman nak menguruskan pelbagai perkara. Jadi mereka ini melihat untuk negara ini kembali macam dulu, kena beri semula kepada UMNO,” katanya.
Kesemua borang permohonan berkenaan diserahakan oleh Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Jelai kepada Setiausaha Politik YAB. Menteri Besar Pahang dalam satu Majlis Penyerahan Borang Keahlian UMNO di Kampung Keledek.-PAHANGMEDIA

