Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
BERA, 10 MEI 2026 : Aktiviti seni warisan, khususnya silat, kini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat di Negeri Pahang apabila penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja memartabatkan seni warisan bangsa, malah berperanan memperkukuh hubungan silaturahim serta membentuk disiplin dalam kalangan peserta.

“Kita melihat penyertaan melibatkan kanak-kanak, remaja hingga warga emas. Aktiviti seperti ini mampu mengeratkan hubungan sesama peserta selain memupuk nilai disiplin dan kesefahaman.
“Saya percaya program silat kini semakin mendapat tempat di hati rakyat Negeri Pahang, daripada seawal usia lima tahun sehingga ke peringkat veteran. Alhamdulillah, sambutan yang diterima kali ini amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Pahang 1st Himpunan Pendekar Silat Daerah Bera serta Bengkel Silat Tempur Jemputan Negeri Pahang 2026 yang berlangsung di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa program berkenaan merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong Aspirasi Pahang 1st bagi melahirkan masyarakat yang aktif, berdisiplin dan bersatu padu.
Usaha memperkasa seni silat ini juga dilihat mampu memastikan warisan budaya terus terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang. – PAHANGMEDIA

