Oleh : Ummul Qistina Sofea
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 MEI 2026 : Atlet hoki, Muhamad Izham Azhar dan atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Pahang sempena Anugerah Sukan Pahang 2023/2024 hari ini.
Penerima Anugerah Olahragawan dan Olahragawati masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM8,000.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyampaikan hadiah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Muhamad Izham, 27, yang berasal dari Kuala Lipis, meluahkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan yang diterima.
“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah. Ini kali pertama saya memenangi anugerah Olahragawan Pahang dan memang tidak dijangka. Saya agak terkejut apabila nama diumumkan, dan saya berasa sangat bangga. Terima kasih kepada keluarga dan jurulatih yang sentiasa memberi sokongan serta tunjuk ajar,” katanya.

Beliau kini mewakili Malaysia dalam sukan hoki dalam dewan dan pernah menyertai kejohanan berprestij seperti Sukan SEA, Piala Asia dan Piala Dunia.
“Ketika ini saya bersama pasukan hoki dalam dewan Malaysia. Kejohanan seterusnya mungkin Piala Asia hoki dalam dewan pada Julai ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Nur Shazrin turut melahirkan rasa terkejut dan gembira dengan kemenangan tersebut.
“Saya sebenarnya tidak menjangka kerana saingan hebat daripada atlet lain seperti Nur Alyani Jamil dalam lawn bowls dan Tasnim dalam petanque yang merupakan juara dunia. Alhamdulillah, saya sangat gembira,” katanya.
Menurut beliau, fokus kini terarah kepada persiapan menghadapi Sukan SEA selepas menjalani fasa pemulihan.

“Sekarang saya dalam persiapan ke Sukan SEA. Saya masih dalam fasa rehabilitasi dan mungkin minggu depan akan mula kembali menjalani latihan,” jelasnya.
Pada majlis itu, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan menjadi milik atlet menembak, Cheah Zen Hong dan Sayyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli, masing-masing menerima wang tunai RM5,000, piala dan sijil.
Anugerah Paralimpik Lelaki diraih atlet tenis, Mohamad Yusshazwan Yusoff dan Paralimpik Wanita milik atlet memanah, Loh Chi Hui, masing-masing menerima piala, sijil dan wang tunai RM3,000.
Anugerah Jurulatih Terbaik diraih Elina Sotnik daripada sukan menembak, Datuk Seri Zulkifli Yaacob (Tokoh Sukan), Datuk Suhaimi Yunus (Kepimpinan Sukan), Prof Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad (Penggerak Sukan).
Pasukan Lelaki dan Wanita Terbaik diraih pasukan pistol manakala Persatuan Sukan Terbaik (Persatuan Futsal Pahang Rangers). -PAHANGMEDIA

