Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 04 MEI 2026 : Menteri Kanan dan Penasihat Singapura, Tuan Lee Hsien Loong memulakan lawatan rasminya ke Pahang hari ini dengan mengunjungi Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC), di sini.
Beliau yang tiba bersama isteri, Puan Ho Ching, mengetuai delegasi seramai 41 orang dari Singapura dalam lawatan berkenaan.

Ketibaan delegasi sekitar jam 4.40 petang itu disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Turut menyambut ialah Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli serta Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Jabatan PERHILITAN, YH. Dato’ Fakhrul Hatta Musa.

Delegasi berkenaan turut disertai Menteri Negara di Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Tuan Zhulkarnain Abdul Rahim; Ahli Parlimen Singapura, Cik Joan Pereira; Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Vanu Gopala Menon dan barisan pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura.
Dalam kunjungan ke MTCC, delegasi diberikan taklimat berkaitan peranan dan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan di pusat konservasi berkenaan.

Mereka turut dibawa melihat sendiri Harimau Malaya yang ditempatkan di pusat itu di mana difahamkan terdapat sembilan ekor harimau dengan dua daripadanya adalah anak harimau berusia lebih tujuh bulan.
Delegasi berkenaan dijadual berada di Pahang selama tiga hari bermula hari ini dan dijangka akan mengadap Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, esok bertempat di Istana Abdul Aziz. -PAHANGMEDIA

