Oleh : Aimi Syafiqa Khairi & Ummul Qistina Sofea
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 04 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang sains sukan.
Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar dan Rektor UiTM Pahang, Prof.Ts. Dr.Azhan Hashim @ Ismail dan disaksikan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Sukan, Puan Suraini Abdul Hamid.
Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof Madya Dr. Hosni Hasan.
Menurut YB. Tuan Khaizulnizam, tujuan utama kerjasama tersebut adalah bagi meningkatkan lagi prestasi atlet di Negeri Pahang terutamanya menjelang kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
“Tujuan utama adalah meningkatkan prestasi atlet Negeri Pahang dalam SUKMA 2026 ini dan kepakaran yang ada di UiTM akan dapat membantu mereka.
“Dan ini antara usaha yang kita laksanakan supaya prestasi atlet dan jurulatih dapat dinilai dan bagaimana kita nak memperkukuhkan lagi semangat mereka.
“Jadi untuk memastikan SUKMA 2026 untuk kita mendapat tempat yang lebih baik, jadi kita berkolaborasi bersama UiTM mengambil pakar untuk membaiki prestasi kita,” katanya. -PAHANGMEDIA

