Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 01 MEI 2026 : Masyarakat Orang Asli yang merantau dan berasal di luar Pahang diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen atau cerita tidak benar yang dibawa pihak luar khususnya yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap usaha pembangunan Kerajaan Negeri.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masyarakat Orang Asli perlu bijak menilai maklumat serta tidak terpedaya dengan dakwaan yang tidak berasas.
Katanya, pelbagai dakwaan kononnya Kerajaan Negeri mengabaikan kebajikan masyarakat Orang Asli adalah tidak benar dan boleh disangkal berdasarkan fakta serta pencapaian semasa.
“Sentimen yang lain mengatakan bahawa kerajaan di Pahang ini mengabaikan masyarakat Orang Asli walhal perkara ini tidak betul. Tok Wan boleh buktikan.
“Dan Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah ambil tanah Orang Asli dan sebagainya. Kalau terpaksa ambil sebagai contoh untuk buat jalan, kita akan ganti balik tanah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Program Ramah Mesra Anak Rantau Masyarakat Orang Asli Parlimen Cameron Highlands anjuran Pertubuhan Anak Rantau Jelai (PARJ) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Cameron Highlands yang juga merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Pengerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah serta barisan pimpinan Parlimen Cameron Highlands.
Program julung kali itu menghimpunkan dan meraikan seramai 68 anak perantau masyarakat Orang Asli dari Parlimen Cameron Highlands.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, kestabilan politik juga penting bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.
“Jangan jadi macam orang Melayu. Tok Wan akui perpecahan orang Melayu sebab ada banyak parti.
“Dan inilah akan terjadi apaila ada parti lain selain daripada parti yang sedia ada. Parti yang ada pada hari ini memang dah buat yang terbaik,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan kepada anak perantau Orang Asli agar tidak pernah melupakan asal usul dan negeri sendiri walaupun berada di perantauan.
“Duduk di luar Pahang sebagai anak-anak Pahang, jangan lupa Pahang, jangan lupa nak balik Pahang. Kena ingat tempat asal,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

