Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 APRIL 2026 : Pasdec Holdings Berhad (PASDEC) melantik Mohammad Ikhwan Mustapa Al Bakri sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu berkuat kuasa 1 Mei ini.
Menurut Pengerusi PASDEC, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Kassim (B) berkata, pengambilalihan tugas daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terdahulu mampu mengekalkan kesinambungan serta memastikan operasi utama syarikat berjalan lancar.
“Kami yakin, dengan pengalaman dan kepakaran beliau, Mohammad Ikhwan akan terus memacu pertumbuhan jangka panjang kumpulan untuk mencapai objektif yang ditetapkan Lembaga Pengarah.
“Kami juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Eksekutif sebelum ini iaitu Liew Chai Sen atas sumbangan beliau kepada PASDEC,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohammad Ikhwan, 41, mempunyai lebih 17 tahun pengalaman dalam perancangan dan pembinaan projek, pengurusan projek, pematuhan, kawalan kos, serta penglibatan pihak berkepentingan.
Beliau akan menyelia keseluruhan operasi dan hala tuju strategik PASDEC bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan portfolio pembangunan kumpulan, serta memberi nilai yang mampan kepada semua pihak berkepentingan.
Sebelum perlantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden Pembangunan Hartanah dan Strategi di PASDEC di mana beliau menerajui strategi pembangunan, pengambilan tanah, dan menyelia pelaksanaan projek secara menyeluruh bagi kumpulan.
Beliau sebelum menyertai PASDEC pada tahun 2021, berkhidmat sebagai Pengurus Projek di kumpulan syarikat Zenith Aim, di mana beliau memperoleh pengalaman luas serta kepakaran dalam pengurusan dan pembangunan projek, termasuklah menyelia aktiviti pembinaan dan memastikan keselarasan dengan objektif projek,
garis masa, serta bajet. -PAHANGMEDIA

