Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 26 APRIL 2026 : Kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membantu anak Orang Asli di negeri ini mendapat pendidikan sewajarnya sehingga mencapai kecemerlangan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, bantuan yang disalurkan termasuklah kebajikan dan kemudahan kepada para pelajar Orang Asli.

“Usaha ini tak akan jadi bererti kalau seandainya Jabatan Kemajuan Orang Asli dia buat tak tahu je. Jabatan Kemajuan Orang Asli bukan sahaja sebagai satu jabatan tetapi ia sediakan kepada anda semua bas sekolah di setiap perkampungan Orang Asli yang dikira jauh.
“Hantar budak-budak ke sekolah tetapi sebelum budak-budak naik bas untuk pergi ke sekolah, budak-budak itu tadi diberi oleh JAKOA baju sekolah, seluar sekolah, supaya dia pergi ke sekolah.
“Kemudian itu mana yang jauh dan duduk di asrama,di bagi elaun RM4 ringgit bagi sekolah menengah untuk menjadi duit wang saku bagi mereka. Maknanya kombinasi semuanya ini berkat kerjasama ini maka hari seramai 60 orang pelajar Orang Asli di seluruh bahagian kita raikan di dalam satu majlis (kecemerlangan),” katanya.

Beliau berkata hanya ilmu pengetahuan yang dapat membantu anak muda dari Orang Aslj untuh meneruskan dan mengurus kehidupan mereka pada masa akan datang.
“Ke depan esok, mesti kita uruskan dengan ilmu, dengan kebijaksanaan. Macam mana nak berkongsi hidup, macam mana kita nak atur benda sikit, benda tak banyak, kita nak agihkan macam mana. Benda tak ada, kita nak cari macam mana.
“Tidak boleh kita cari itu dengan emosi. Sebab sekarang semua main undang-undang. Jadi kita nak ikut peraturan dan undang-undang. Tak ada jalan melainkan dengan ilmu dan pengetahuan yang betul. Nak membina pembangunan tidak ada jalan melainkan kita mesti punya ilmu dan pengetahuan yang betul.
“Orang Asli tak boleh dah hidup cara dulu, kena berubah. Orang lain jadi doktor, kita kena jadi doktor. Orang lain jadi engineer, kita kena jadi engineer. Orang lain jadi accountant, kita kena jadi accountant. Orang lain jadi pentadbir, kita kena jadi pentadbir. Barulah kita boleh membentuk kehidupan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Pelajar Orang Asli Negeri Pahang Tahun 2025 di Dewan Hubabah, Kampung Bukit Seding, Dato’ Shariff Ahmad, Kerdau, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah; dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Adam Zaidi Mahidin.
Seramai 60 pelajar Orang Asli cemerlang SPM 2025 dari seluruh Negeri Pahang menerima sijil serta wang tunai RM100 bagi setiap subjek yang mendapat A sebagai tanda penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada mereka. -PAHANGMEDIA

