Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 25 APRIL 2026 : Penganjuran Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) East Cost Symposium 2026 dilihat sebagai platform strategik dalam memperkasa pembangunan teknologi serta mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, program tersebut dapat membantu merancang dan memperkukuh pembangunan teknologi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
“Melalui simposium ini dapat bantu merancang untuk memperkukuh pembangunan teknologi serta ianya berpotensi untuk membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang ini.
“Ianya juga menjadi platform untuk kita perkenalkan Negeri Pahang kepada industri dan pelabur-pelabur yang hadir pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian MBOT East Coast Symposium 2026, selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang, hari ini.
Tambahnya, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Pahang, institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri amat penting dalam memastikan pembangunan teknologi dapat digerakkan secara menyeluruh dan berkesan.
“Untuk menjadi Negeri maju, kita tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kita perlu ada kerjasama dengan semua pihak termasuk pakar teknologi, institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri.
“Sebab itulah simposium ini saya nampak ianya selari dengan visi Kerajaan Negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar simposium ini dapat menjadi platform yang baik dalam memperkenalkan potensi negeri ini serta memberi peluang kepada peserta untuk melihat sendiri peluang yang tersedia dalam ekosistem teknologi di negeri ini.
“Saya berharap para peserta dapat membawa pulang lebih banyak maklumat mengenai potensi Pahang serta dapat melihat sendiri peluang yang tersedia dalam ekosistem teknologi negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

