Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 APRIL 2026 : Fasiliti dan bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri Pahang kepada pelajar Maahad Tahfiz menjadi salah satu platform kejayaan mereka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Menurut pelajar Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP), Nor Haziq Adli Nor Haidzir, 18, Kerajaan Negeri telah memberi banyak bantuan termasuk elaun dan kemudahan pembelajaran.
“Saya alhamdulillah ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Pahang dan setiap bulan saya juga mendapat allowance untuk belanja bulanan.
“Dengan fasiliti terbaik, ada air conditioner dan dapat ada LCD di kelas, amat membantulah saya untuk belajar sehingga saya dapat mencapai kecemerlangan hari ini, berbekalkan bantuan kerajaan Pahang,” katanya.

Nor Haziq Adli turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan kepimpinan Negeri Pahang diatas segala sumbangan dan bantuan kepada para pelajar di negeri ini.
“Terima kasih kepada Kerajaan kepada Menteri Besar Pahang, Sultan Pahang dan juga CEO Yayasan Pahang iaitu Dato’ Mahmud sendiri.
“Semoga mereka meneruskan bantuan mereka kepada anak-anak Pahang agar anak-anak Pahang dapat berjaya lebih lagi pada masa akan datang,” katanya.
Manakala menurut Muhammad Amirul Hakim Khairul Akmal, 18, pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri diatas segala bantuan yang diberikan kepada para pelajar.
“Saya bersyukur sangat atas bantuan dan sokongan daripada semua orang, daripada ibu bapa saya, daripada cikgu-cikgu, daripada kawan-kawan, daripada pengurusan Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan juga Yayaan Pahang.

“Saya terima kasih sangat-sangat sebab tanpa bantuan dan sokongan ini semua, saya tak akan berjaya macam ini dan saya berharap saya dan rakan-rakan saya akan dapat kekalkan dan tambah baik kami punya kemahiran dan kebolehan dan seterusnya akan memimpin negara pada masa akan datang.
“Terima kasih sangat Kerajaan Negeri Pahang sebab peruntukkan wang yang banyak untuk pendidikan kami daripada kami nak mula belajar sampai habis belajar dan untuk yang cemerlang pun ada juga habuan lebih,” katanya.
Tambahnya lagi, dia akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menabur bakti kepada negara dan negeri Pahang khasnya pada masa akan datang.
“Plan saya selepas ini adalah untuk sambung belajar dalam bidang kejuruteraan, ikut kepada biasiswa yang ditawarkan. Jika ada peluang untuk keluar negara, saya akan ambil dan saya berharap dapat belajar bersungguh-sungguh supaya dapat berbakti semula kepada negara, terutamanya Negeri Pahang,” katanya.
Seramai 25 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan 41 pelajar Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) telah berjaya memperoleh semua A pada SPM 2025 dan menerima insentif RM1,500 setiap seorang hari ini. -PAHANGMEDIA

