Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 APRIL 2026 : Kerajaan mengambil langkah proaktif meneliti cadangan daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terpaksa mendepani cabaran susulan konflik di Asia Barat ketika ini.
Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK), Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif ini dilakukan melalui pertemuan khas bersama usahawan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan praktikal.
“Saya telah berjumpa dengan PMKS di sebelah utara. Kita dah berbincang dan banyaklah cadangan-cadangan yang dikemukakan mereka. Dan insyaAllah kali ini saya akan bawa kepada pihak atasan.
“Saya tak boleh tentukan lagi sebab belum ada keputusan. Saya cuma penasihat. Keputusan muktamad akan dibuat oleh Menteri dan juga Perdana Menteri.
“(Perjumpaan ini) untuk dapat maklum balas daripada mereka dan juga cadangan-cadangan yang mereka berikan. Saya nampak ada juga cadangan-cadangan yang munasabah dan ada juga cadangan-cadangan yang perlu dikaji dan diteliti lebih lanjut,” katanya.
Beliau turut menyarankan para usahawan supaya berjimat cermat dan melakukan pekerjaan yang sesuai daripada rumah sepanjang tempoh konflik berlaku
“Saya mencadangkan supaya kita berjimat cermat. Berjimat cermat dan dalam masa yang sama kita cuba kurangkan kos.
“Dan kalau boleh apa-apa juga yang boleh bermula daripada rumah, buat daripada rumah. Mungkin tidak semua tapi ada beberapa-beberapa yang boleh dibuat daripada rumah, kita buat kerja daripada rumah,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan pelaksanaan penstrukturan semula caj TikTok Shop bagi membantu meringankan beban usahawan PMKS, beliau berkata ia merupakan cadangan yang baik dan akan diteliti.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Maahad Tahfiz Negeri Pahang Dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang. -PAHANGMEDIA

