Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan pendidikan apabila mengerahkan insentif berjumlah RM1,500 kepada 66 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) yang berjaya meraih keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif ini merupakan tanda penghargaan daripada Kerajaan Negeri dan juga pendorong kepada para pelajar berkenaan.

“Hari ini kita meraikan anak-anak kita yang berjaya dengan cemerlang di Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan juga Maahad Tahfiz Turath.
“Sebagai penghargaan, Kerajaan Negeri menyumbang RM1,000 untuk setiap pelajar cemerlang dan Yayasan Pahang tambah RM500. Ini adalah sebagai dorongan dan memberi semangat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Maahad Tahfiz Negeri Pahang Dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang bersama memainkan peranan dalam memastikan kejayaan para pelajar dalam peperiksaan tersebut.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada ibu-ibu yang telah hadir hari ini, sama-sama memberi semangat kerana sebenarnya yang saya katakan untuk mendapat straight A ini, ada yang dapat 11A, 10A, 9A, 8A, bukanlah satu perkara yang mudah.
“Bukan senang untuk dicapai. Kena ada komitmen, kesungguhan, keupayaan. Dan bagi pihak Kerajaan, kita buat yang terbaik, kita menyediakan kemudahan yang terbaik. Tetapi selebih itu, ibu bapa dan anak-anak yang mainkan peranan.
“Saya juga ucapkan syabas, tahniah kerana kita berjaya mendapat kedudukan kedua terbaik di peringkat kebangsaan, negeri yang pertama tetapi kalau termasuk Putrajaya, kita kedualah,” katanya.
Seramai 25 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan 41 pelajar Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) telah berjaya memperoleh semua A pada SPM 2025. -PAHANGMEDIA

